
Majlis bermula pada sebelah pagi, di mana persiapan yang dilakukan oleh kaum muslimat yang membuat persediaan memasak makanan sejak awal pagi lagi. Persediaan pada sebelah pagi tersebut berhenti pada jam 12.00 tengahari, disebabkan oleh kehadiran kaum muslimin untuk menunaikan sembahyang Fardhu Jumaat. Khutbah Jumaat pada minggu tersebut, dibaca oleh khatib yang tidak asing lagi bagi masyarakat mukim Guar Kepayang iaitu Ust. Mohd. Zaidi dengan sembahyang Fardhu Jumaat diimamkan oleh Ust. Abd. Ghani Karia (Pondok).
Selesai sahaja solat Fardhu Jumaat, Majlis Jamuan Hari Raya Aidil Fitri 2008 dimulakan pada tepat jam 3.00 petang. Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dengan dipengerusikan oleh Ust. Mohd. Zaidi sebagai pengacara majlis. Turut memeriahkan lagi majlis tersebut, dengan ucaptama perasmian oleh Pengerusi Induk Ayahanda Tuan Imam (Pak Su Kasim), yang melahirkan kegembiraan dengan adanya majlis seumpama ini, dan bersyukur diatas kerjasama masyarakat anak-anak qaryah untuk menjayakan majlis tersebut. Antara yang turut memberi ucapan pada majlis tersebut ialah Ketua Urusetia Program En. Mat Isa, Wakil Anak-anak Muda di kampung En. Nor Azam Ismail dan Wakil Anak-anak Muda di perantauan iaitu Ust. Mohd Yusuf Hj. Salleh.
Selesai sahaja majlis ucapan tersebut, warga qaryah Guar Kepayang yang hadir keluar bergambar beramai-ramai di padang halaman masjid sebagai kenangan bersama Aidil Fitri 2008. Berlatar belakangkan Masjid Bersejarah ini, inilah majlis yang julung-julung kalinya diadakan telah terukirnya sejarah kerjasama dan persaudaraan masyarakat kampung di Mukim Guar Kepayang yang mengeratkan persaudaraan dan ukhuwwah yang terbina sekian lama bersempena dengan sambutan satu Syawal 1429. Majlis ini juga dihiasi dengan alunan Marhaban yang diketuai oleh En. Abd. Hamid (Kg. Kedah) sementara menunggu juadah dihidangkan.
Segala usaha kaum muslimat juga amat dihargai dengan hidangan menu juadah jamuan yang cukup bermakna pada petang tersebut antaranya, bihun sup, ketupat cicah gulai dan rendang, kuih-kuih raya, agar-agar serta buah-buahan. Majlis jamuan pada petang tersebut berakhir pada jam 7.00 petang.
Alhamdulillah, majlis berjalan dengan baik sekali, dengan kehadiran anak-anak Qaryah Masjid Guar Kepayang seperti Kg. Petani, Kg. Kedah, Kg. Kubang Teradeh dan Kg. Bahagia (Pondok) dan manisnya majlis ini apabila terdengar suara-suara melahirkan suara hati masing-masing menyatakan alangkah baik dan seronoknya jika anak-anak kampung di perantauan sempat bersama pada hari tersebut, dengan disertai oleh semua anak-anak qaryah masjid dan kami juga mengharapkan program ini akan terus berterusan pada tahun-tahun hadapan dengan harapan anak-anak muda di kampung dan di perantauan dapat meluangkan masa memeriahkan MAJLIS JAMUAN HARI RAYA AIDIL FITRI 1430/2009 yang dijangkakan pada tarikh yang sama iaitu 3 SYAWAL (Hari Raya Ke-3) setiap tahun, Insya Allah.
Kini biarpun telah hampir sebulan, Majlis Jamuan Hari Raya Aidil Fitri 2008 berlalu, tetapi setiap kali kami (AJK majlis) terpandang kain rentang majlis sambutan tersebut yang kini masih tergantung di pagar masjid, terasa bagai baru kelmarin ia berlalu dan mengharapkan majlis tersebut mendapat keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T. Semua yang kami lakukan ini adalah untuk kita semua. Amin.
Juga dengan wujudnya laman blog ini, kami akan paparkan apa-apa yang dirasakan perlu, terutamanya buat warga Guar Kepayang di perantauan sebagai satu saluran maklumat dan suara masjid kita (Masjid Guar Kepayang) untuk kita semua. Kami memohon sebarang pandangan yang mungkin dapat membantu perjalanan blog ini (http://guarkepayang08.blogspot.com/). Setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih buat semua yang prihatin dan sebarkan laman blog ini buat semua Warga Guar Kepayang di perantauan.


Ucapan Ketua Urusetia











No comments:
Post a Comment